Sejak 2 malam yang lepas saya mimpikan Hafiz tersenyum. Kedua-dua mimpi di tempat yang berlainan. Itulah doa saya pada Tuhan. Dapat melihatnya di dalam mimpi. Kerana saya percaya sebagai manusia ruh kita akan bertemu antara satu sama lain jika diizinkan Tuhan ketika kita tidur. Tapi tak dpt dinafikan, ada juga mimpi hanya mainan tidur. Maksudnya, mungkin kerana terlalu rindu pada Hafiz maka saya termimpikannya. Itu semua tak penting bagi saya. Yang pasti, ia adalah antara penguat semangat buat saya meneruskan hidup sementara dapat bertemu kembali dengannya. Antara doa saya, biarlah kami sekeluarga ditempatkan bersama-sama nanti di akhirat. Saya yakin pada kasih sayang Tuhan pada hambanya. Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.
Berada jauh di KL sedangkan pusara Hafiz di Kelantan, membuatkan saya sering rasa bersalah tidak dapat melawat pusaranya selalu. Rasullah s.a.w juga melawat pusara org-org kesayangannya. Begitu juga Aisyah anak Rasulullah, sentiasa melawat pusara Ayahandanya. Itulah antara tanda kasih yang tak berbelah bagi walaupun sudah terpisah dgn dunia yang lain. Jadi, sebagai ganti rasa rindu itu, saya melawat pusara makcik Hasnah yang meninggal dunia lebih awal daripada Hafiz di Sg Buloh. Melalui pembacaan, banyak hadis nabi meriwayatkan apabila kita melawat pusara atau melintasi pusara, bunyi tapak kaki kita dapat didengar oleh mereka. Jika kita memberi salam, mereka akan menjawabnya. Jika kita menyedekahkan doa dan ayat suci Al-Quran, kubur mereka akan terang dengan cahaya. Saya percaya semua ini dapat dirasai oleh mereka yang telah pergi mendahului kita. Kerana itulah, saya akan sebanyak mungkin mendoakan Hafiz, saudara mara dan saudara seIslam yang lain. Ada masa, saya mohon pada Tuhan agar sampaikanlah salam rindu saya buat mereka. Mungkin ada yang beranggapan saya sakit. Tapi saya yakin pada kuasa Tuhan yang mampu menunaikan dan menjadikan segala-galanya.
Benar saya senyum..benar saya kelihatan gembira. Hakikatnya, kehilangan itu tetap dirasai dan inilah dugaan Tuhan buat hambaNya yang terpilih. Saya mohon diberikan ketenangan, kekuatan dan keampunanNya.
Al-Fatihah buatmu adikku..