Dia seorang yang pemalu. Seringkali dia menyorokkan perasaannya bila mahukan sesuatu. Walau dengan abah sekalipun, dia lebih rela berbisik ke telinga kakak atau adik-adiknya sebagai penyampai hajatnya kepada abah. Dia juga lebih rela tersenyum pada org yang tidak dikenali. Jika dtg ramahnya, dia akan bersikap lucu dengan sesiapa saja. Jenakanya kadang-kadang di luar sangkaan dan sentiasa menghiburkan.
Dia seorang yang manja. Bila disuruh apa-apa yang dia tak suka, dia akan bertenggek lama di tangga atau berbaring di katil sambil terkebil-kebil memandang kakaknya. Kemudian dia akan tersenyum nakal sambil menggeleng kepala tanda tak mahu membuat kerja yang disuruh. Dia selalu menunggu saat keluar shopping bersama-sama membeli baju atau apa saja bersama-sama. Konsep 'nak pau' sentiasa jadi usikan darinya. Setiap pagi, bila alarm jam berbunyi, dia tahu kakaknya atau mama akan dtg dan mengejutkannya..sebenarnya alarm itu bukan khas utknya tetapi sebagai 'reminder' kepada org lain supaya jgn lupa kejutnya dari tidur. Dan hanya dengan cara memicit hidungnya sahaja, dia akan segera terjaga. Mmg dasar budak manja!
Dia juga nakal. Semasa kecil, dia sering saja merosakkan dan menghilangkan koleksi barang mainan kakaknya. Bila ditegur, dia akan menjelirkan lidah dan lari berlindung di belakang abah atau mama. Jika berkongsi basikal roda tiga, dia akan mengayuh selajunya agar kakaknya jatuh tergolek di belakang. Jika makan ayam goreng, dia akan memilih yang rangup-rangup. Tiada siapa dapat berkongsi dengannya. Jika dia marah, kadang-kala dia mempamerkannya tetapi tak lama. Dia cepat menegur kita kembali.
Dia kasihankan binatang. Jangan sesekali membunuh binatang di depannya. Airmatanya mudah menitis hanya kerana melihat binatang terseksa. Dia sayang benar pada kucing. Jika boleh..semua kucing akan dilindunginya dan dibawa pulang ke rumah.
Dia sukakan alam ciptaan Tuhan. Terutama sekali pantai dan lautan. Dia suka memotretkan gambar-gambar keindahan alam dgn kamera kesayangannya.
Dia sgt penyayang pada org sekelilingnya terutama adik-adiknya. Setelah kakaknya ke sekolah berasrama, dia mengambil alih tugas menjaga adik-adik di sekolah. Dia suka memberi pandangan pada adik-adiknya terutama soal pakaian dan kehidupan.
Dia sabar. Sepanjang dia sakit, dia merasa sungguh bosan kerana terlantar di rumah. Adakala dia juga merasa tertekan. Namun, dia tak pernah mengeluh menanggung kesakitan. Jika ada rasa hatinya yang bercelaru, dia akan berbisik memberitahu. Adakalanya, dia akan berfikir dan termenung seorang. Walaupun perlu menjalani rawatan memeritkan, dia tetap bertahan.
Dia kini telah dijemput pulang oleh Ilahi. Kerana sesungguhnya Tuhan lebih tahu apa yang terbaik buatnya. Dia kini terlepas dari fitnah dunia yang mengasyikkan, dari kesakitan, dari masalah-masalah yang membelenggu dirinya. Dia dijemput pulang dalam tidurnya dan tidak dijangka oleh sesiapa jua bahawa begitulah akhirnya. Dan wajahnya tersenyum tatkala ahli keluarga mengiringi jenazahnya ke alam baru.
Dia adalah yang dirindui. Setiap hari kakaknya menghitung waktu dan hari. Entah bila akan bertemu kembali...