Hari ini genap 14 hari Hafiz pulang ke rahmatullah. Pagi tadi (Khamis - 9 April 2009 - 10 am) seorang lagi ahli keluarga telah pulang ke rahmatullah. Allahyarham Tok Teh Aji juga telah menghembuskan nafas pada hari yang sama Allah membawa Hafiz pulang ke pangkuanNya. Tok Teh Aji adalah satu-satunya datuk sebelah keluarga abah yang masih tinggal. Kami sekeluarga agak rapat dengan arwah. Lebih lagi, Tok Teh Aji adalah tempat abah bermanja kerana abah lahir setelah bapanya meninggal dunia. Dengan Tok Teh Aji lah abah belajar mengaji dan lain-lain. Tok Teh Aji adalah bapa saudara abah yang paling rapat kami adik-beradik kenali.
Semalam adalah hari kedua saya mimpikan Hafiz Azhan. Malam pertama, kami berdua singgah di satu perhentian dan Hafiz duduk di atas sebuah kerusi. Saya belikan minuman dan beri padanya. Setelah itu kelihatan beberapa wanita melepasi usia 30-an menghampiri Hafiz dan bertanya khabar padanya. Saya tak dapat lihat wajah mereka dengan jelas tapi mungkin juga mmg tak kenal, atas sebab mereka bertanya pada Hafiz, siapa tu? Hafiz ada memberitahu mereka, itu kakak.
Itu saja. Kemudian saya terjaga.
Malam kedua, saya dapat lihat Hafiz dan kawan-kawan seperti dalam persiapan ke perlawanan bola. Tapi tak begitu pasti. Tak dapat lihat Hafiz bercakap, tapi pasti Hafiz mmg berada di samping saya dalam mimpi itu. Mungkin juga kami sedang duduk di tepi padang menyaksikan perlawanan tersebut. Keadaan agak hingar-bingar tapi kami berdua hanya diam di situ.
Suatu perkara paling sukar ialah naluri saya sejak akhir-akhir ini bagai mencari-cari apa jua yang saya rasakan terhadap Hafiz. Sebagai contoh, blog ini juga saya tidak tahu kewujudannya sebelum ini. Saya cuma mengikut apa yang saya rasakan dan benarlah, Hafiz telah membina blog ini pada bulan March tahun ini tapi mungkin tak sempat mencurahkan apa yang terbuku di lubuk hatinya di blog ini.
Saya juga amat merinduinya setiap saat sebulan sebelum ini sehingga ke hari ini. Rindu saya biasanya diiringi airmata yang muncul tiba-tiba. Pada hari terakhir bersamanya pada 22 March 2009 sebelum saya pulang ke KL, saya terpanggil mencium dahinya dan kami berjanji akan berjumpa lagi. Itulah janji kami yang terakhir. Dan kami tidak tahu bahawa Allah telah mentakdirkan, kami insya Allah akan bertemu lagi di alam lain. Maha Suci Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih.....
Thursday, April 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment